Isnin, 9 Julai 2012

Takaful Kurangkan derita musibah

Perlindungan Takaful

·     
  • Konsep takaful adalah kaedah pnegurusan risiko yang boleh diterima pakai untuk mengurangkan penderitaan bakal ditanggung akibat musibah 
  •  Risiko dalam konsep takaful merujuk kepada kerugian yang ditanggung akibat kehilangan atau kemusnahan harta benda (takaful am); dan perkara berkait dengan tubuh badan manusia seperti nyawa, penyakit dan sebagainya (takaful keluarga) 
  •  Risiko berkaitan harta benda sekarang memang banyak - melindungi harta kita daripada kecurian, kebakaran, banjir, ribut, kemalangan, gempa bumi dan sebagainya 
  •  Kita perlu mengimbangi pengurusan risiko supaya merangkumi kedua-dua aspek iaitu nyawa dan harta benda
  •  Bagi mangsa banjir yang mengambil perlindungan takaful, mereka boleh mengemukakan permohonan untuk mendapat kan pampasan kepada syarikat pengendali takaful
  •  Tidak ramai bangsa Melayu menyertai skim takaful kerana salah faham dengan amalan riba 
  •  Konsep skim takaful berbeza dengan insurans 
  •  Menyertai takaful tidak bertentangan dengan ajaran agama.

MUSIBAH adalah ketentuan Allah, la ujian atau cubaan ke atas umat manusia bagi menguji tahap kesabaran mereka. Allah dengan firmannya di dalam surah al-Baqarah ayat 155-157 bermaksud: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (155). Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali (156). Mereka itulah orang yang dilimpahi dengan kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya (157).


Ada kalanya musibah ini ujian berpunca daripada perbuatan manusia sendiri. Lantas Allah menurunkan bala supaya manusia kembali sedar akan kesilapan yang mereka lakukan dan kembali mengamalkan apa
yang dianjurkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Hal ini dapat diperhatikan melalui firman Allah di dalam surah arRuum ayat ke-41 bermaksud:
"Sudah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat)perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).


Sebagai hamba, kita perlu menerima ketentuan Allah dan perlu pasrah kepada qada dan qadar. Bagaimanapun ini bukan bermaksud kita perlu berdiam diri tanpa perlu berikhtiar untuk mengelak daripada terjadi atau mengurangkan risiko bakal menimpa. Islam mengajar kita supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku ujian ini. Dengan kata lain, tanpa persediaan awal. kita mungkin berhadapan dengan risiko lebih berat lagi kesan daripada ujian tadi. Dengan itu, risiko ini perlu diurus dengan bijaksana supaya kesannya dapat dikurangkan dan tidak memberi kesan yang mendalam ke atas ketahanan fikiran dan jasmani manusia.


Dalam hal ini, konsep takaful adalah kaedah pengurusan risiko yang boleh diterima pakai untuk mengurangkan penderitaan bakal ditanggung akibat musibah yang mungkin melanda. Risiko dimaksudkan di dalam konsep takaful merujuk kepada kerugian yang ditanggung akibat kehilangan atau kemusnahan harta benda (takaful am); dan perkara berkait dengan tubuh badan manusia seperti nyawa, penyakit dan sebagainya (takaful keluarga).


Bagaimanapun, apabila kita membicarakan persoalan berkaitan perlindungan menerusi sistem takaful, kita lebih cenderung untuk memikirkan perlindungan ke atas diri dan nyawa. Kita lebih memikirkan untuk melindungi diri daripada penyakit kritikal, perlindungan persaraan atau pendidikan anak berbanding dengan keperluan untuk melindungi harta benda.


Risiko berkaitan harta benda sekarang memang banyak. Kita perlu melindungi harta kita daripada kecurian, kebakaran, banjir, ribut. kemalangan, gempa bumi dan sebagainya. Bukan bermaksud untuk mengatakan bahawa perlindungan takaful keluarga tidak penting, tetapi kita sebenarnya perlu mengimbangi pengurusan risiko supaya ia merangkumi kedua-dua aspek iaitu nyawa dan harta benda.


Dalam kes bencana banjir yang sering melanda negara pada setiap penghujung dan awal tahun, penduduk rata-rata mengalami kemusnahan tempat tinggal dan harta benda. Premis perniagaan serta kenderaan
juga tidak terkecuali.


Bagi yang mengambil perlindungan takaful, mungkin mereka boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pampasan kepada syarikat pengendali takaful mereka. Manakala, bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang pelan perlindungan, ia satu yang mendukacitakan.


Produk takaful am seperti takaful kebakaran, takaful pemilik dan isi rumah, antara menawarkan  perlindungan ke atas harta benda kita jika terjadi sebarang bencana seperti kebakaran, kecurian mahupun
banjir.


Bagaimanapun produk dinyatakan itu hanya melindungi bangunan, rumah atau apartmen yang diperbuat daripada konkrit sepenuhnya. la satu kekangan kepada pemilik rumah kayu terutama yang tinggal di
desa untuk menyertai skim takaful di atas.


Rumah seperti yang kita tahu adalah satu keperluan. Rumah yang selesa berperanan dalam mewujudkan satu persekitaran kehidupan positif kepada warganya. la bertepatan dengan maksud hadis berikut:
Daripada Saad RA katanya, Rasulullah bersabda: "Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu isteri yang salih, rumah kediaman yang luas (lapang), jiran yang baik dan kenderaan yang selesa". (Riwayat
al-Baihaqi).


Sudah tiba masanya bagi pengendali takaful untuk memikirkan produk yang sesuai bagi pemilik rumah kayu melindungi harta benda mereka daripada bencana yang biasa melanda negara seperti banjir.


Bagaimanapun pada masa sama, masyarakat perlu meningkatkan kesedaran dengan mengambil tahu terbaik mengurus risiko. Perlindungan takaful satu cara terbaik yang boleh diguna pakai kerana selaras
dengan kehendak syariah.


Memang kita mengakui bahawa tidak semua jenis kerugian itu dapat diatasi secara seratus peratus. Sebagai contohnya, kesan emosi atau trauma yang dialami akibat kehilangan harta atau kematian orang
tersayang amat sukar untuk ditukar ganti dengan pampasan wang ringgit. Bagaimana melalui pampasan yang terdapat di dalam konsep takaful, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan kerugian serta
tekanan emosi yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang ditimpa musibah ini.


Apa yang penting ialah perlu ada keseimbangan di antara pengurusan risiko ke atas nyawa, diri dan perlindungan risiko ke atas harta benda akan tetapi kesedaran untuk menyertai takaful terutama di kalangan masyarakat Melayu beragama Islam masih lagi rendah.


Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Mohd. Razif Abdul Kadir, berkata pada masa ini jumlah rakyat Malaysia yang memiliki insurans, hanya 44 peratus.


Jika ditinjau dari sudut penyertaan skim insurans konvensional, hanya lima hingga lapan peratus saja kaum Melayu mempunyai perlindungan insurans. Mungkin isu berkaitan dengan syariah sebab utama
orang Melayu kurang berminat untuk membeli insurans konvensional.


Apa yang peliknya, penyertaan mereka untuk mendapatkan perlindungan takaful juga rendah. Kesedaran kepentingan untuk bertakaful masih lagi belum menjadi satu keutamaan di kalangan orang Islam di Malaysia.


Mungkin kesedaran untuk mendapatkan perlindungan secara Islam ini perlu diasuh sejak kecil lagi apabila kempen perlu dimulakan di sekolah rendah atau menengah. Tidak pun ia dimasukkan ke dalam kursus perkahwinan bagi memberi kesedaran tentang pentingnya untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bagi mereka yang ingin memasuki alam rumah tangga dan memulakan keluarga sendiri.


Penulis ialah Felo, Pusat Ekonomi dan
Kajian Sosial, IKIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan